Chong Sin Woon

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 311 buah sekolah berdepan masalah disiplin manakala 91 lagi dikategorikan sebagai sekolah tumpuan iaitu cenderung mempunyai masalah disiplin.

“Kita tidak boleh mendedahkan sekolah-sekolah ini, walau bagaimanapun kementerian sudah kenal pasti dan akan mengambil tindakan.

“Antaranya kita akan me­nga­dakan pelbagai program menerusi gerak kerja jawatankuasa bertindak yang diwujudkan khusus untuk sekolah-sekolah yang bermasalah ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat ja­watankuasa induk menangani gejala disiplin murid di sini hari ini.

Sin Woon berkata, kementerian mendapati jumlah murid yang terlibat dengan permasalahan disiplin adalah pada kadar 2.03 peratus setahun sejak 2012 sehingga 2016.

Beliau berkata, ponteng sekolah merupakan isu utama dalam salah laku disiplin, justeru kementerian menyasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menurunkannya kepada 0.02 peratus daripada 0.4 peratus.

“Tiga faktor utama berlaku kes ponteng adalah tidak berminat ke sekolah, mempunyai masalah kelua­rga dan isu kemiskinan,” katanya.

Menurutnya, antara langkah untuk menangani gejala itu adalah mewujudkan program perintisan industri menengah atas ia­itu pelajar perlu menjalani latihan industri selama tiga hari dan dua hari lagi bersekolah seperti biasa.

Katanya isu buli juga antara yang tertinggi menyumbang kepada salah laku disiplin di sekolah, namun keadaannya masih terkawal berikutan adanya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian kepada sekolah-sekolah di seluruh negara.

Katanya, melalui SOP 1:3:7 setiap sekolah perlu melaporkan perkara-perkara berbangkit kepada peringkat pengurusan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada tujuh hari.

“Kes buli dalam kalangan pelajar di negara ini tidak membimbangkan, cuma ada pihak yang cuba mensensasikannya dengan mengeluarkan semula kisah-kisah lama atau pun kisah dari negara-negara luar seperti Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau menambah, selain buli secara fizikal kementerian juga memantau isu buli siber yang kini di peringkat mengemas kini peraturan baharu khusus untuk menangani isu-isu berkaitan siber.