Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Dr Illias Hussain berkata, kira-kira 600 hektar kawasan padi di jajahan ini terjejas apabila padi yang telah masak tidak sempat dikeluarkan sebelum banjir melanda.

“Kita mengesyorkan agar pesawah mengikut jadual menabur benih dan menuai padi bagi mengurangkan kerugian pada masa hadapan.

“Kerajaan sangat prihatin dengan golongan petani, kalau mahu kira dari sudut ekonomi sebenarnya pesawah tidak mampu tanam padi jika kerajaan tidak jalankan tanggungjawab untuk menolong.

“Sebab itu kita bantu semuanya sama ada benih, baja, jentera pembajak dan sebagainya malah hari ini kita tampung pula hasil yang hilang,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian Bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi KADA Jajahan Bachok di pejabat di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sri Gunong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pertanian KADA, Abdul Halim Salleh; Ketua Pegawai KADA Jajahan Bachok, Mohd Nasir Mustapha dan Ahli Lembaga Pengarah PPK Sri Gunong, Radzuan Hamat. - UTUSAN ONLINE