Penolong Penerbit Eksekutifnya, Murnira Mastar berkata, penganjuran festival itu selama dua hari adalah selari de­ngan matlamat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu menjadikan negeri ini sebagai kota budaya negara.

Menurutnya, festival yang menggabungkan penggiat tarian zapin dari negeri ini dan dua lagi negara akan mengumpulkan seramai 400 penari zapin.

“Walaupun masyarakat serumpun ini terpisah kerana pembangunan dan sempadan negara, kita masih boleh bersatu dan berhimpun melalui bidang seni dan budaya.

“Selain disajikan dengan persembahan yang menggabungkan penari dari tiga negara, pengunjung juga boleh melawat ruang pameran dan bengkel yang disediakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Festival tersebut berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang dijangka dihadiri seramai 10,000 pengunjung dari seluruh negeri dan kema­sukannya adalah percuma.

Antara kumpulan penari Johor yang terlibat adalah dari Yayasan Warisan Johor, Kanak-kanak Tari Warisan Jauhar, kumpulan kebudayaan masyarakat Cina dan India dan penggiat zapin dari setiap daerah.

Sementara penggiat zapin Singapura adalah Seri Wa­risan, Azpirasi dan Sriwana manakala Indonesia terdiri daripada Teratak Indonesia, Seri Melayu, Riau dan D'Jangat.