Pengurus Besar Cawangan Faedah Ibu Pejabat Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, pemantauan dan penelitian dilakukan oleh kakita­ngan pertubuhan itu di setiap dae­rah melibatkan kes-kes kemala­ngan yang dilaporkan akhbar.

“Merujuk kes yang dikesan, kita akan menghubungi pihak forensik, polis, bomba atau majikan pekerja untuk mendapat maklumat bagi mengesan waris pencarum.

“Kami berusaha mengambil pen­dekatan proaktif memberi bantuan segera seperti faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 kepada tanggungan yang layak,” ka­tanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek bantuan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 kepada Junida Mohamed, 40, balu kepada kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Me­la­yu), Anuar Mahudin yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di jalan utama Kampung Sungai Rabit di sini Khamis lalu.

Yang hadir sama, Pengarah Perkeso negeri, Zainal Ismail; Eksekutif Utusan Melayu Cawangan Temerloh, Abdul Latib Busu dan Pengurus Pejabat Perkeso Temerloh, Tarmizi Mukhtar.

Allahyarham Anuar yang merupakan kerani am pejabat Utusan Melayu di Temerloh meninggalkan seorang balu dan lima anak perempuan berusia antara lapan hingga 21 tahun.

Menurut Ismail, majikan wajib mendaftar pekerja masing-masing sebagai pencarum Perkeso walaupun hanya seorang kerana orang berinsurans layak menerima pelbagai faedah jika cedera sementara, cedera kekal atau maut semasa berada atau berulang-alik ke tempat kerja.

“Ada majikan mengambil sikap lepas tangan untuk mendaftar pekerja yang boleh menyebabkan mereka didenda di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

Berhubung bantuan faedah yang dihulurkan kepada Junida, be­liau memberitahu, Skuad Priha­tin Perkeso daerah mengambil tin­dakan proaktif sebaik sahaja mendapat maklumat berkenaan kemalangan maut tersebut seperti disiarkan akhbar ini kelmarin.