Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, penurunan harga yang dibuat oleh empat syarikat telekomunikasi itu lanjutan daripada penguatkuasaan Standard Mandatori Mengenai Capaian (MSAP).

Pakej permulaan itu adalah TM (30 Mbps) pada harga RM79 berbanding RM139 (sebelum pelaksanaan MSAP) iaitu penurunan sebanyak 43 peratus; Celcom (40 Mbps) berharga RM80 berbanding RM180 sebelum ini, penurunan sebanyak 56 peratus.

Maxis (30 Mbps) kini berharga RM89 berbanding RM139 (sebelum MSAP) penurunan sebanyak 36 peratus dan TIME (100 Mbps) kini berharga RM99 berbanding RM149 sebelum ini, penurunan sebanyak 34 peratus.

“Pelaksanaan MSAP dan pe­nurunan harga adalah selaras usaha kerajaan untuk menyedia­kan jalur lebar yang berkualiti tinggi dan bertaraf dunia pada harga berpatutan,” jelas kenya­taan itu di sini hari ini.

SKMM berkata, selain pakej permulaan, TIME turut memperkenalkan pakej permulaan gigabit pada harga RM199 dan ini merupakan kali pertama pakej seumpama itu diperkenalkan kepada sebahagian besar segmen penduduk di Malaysia.

Pakej turbo TIME yang ditawarkan kini adalah berharga RM129 untuk 100 Mbps, harga RM139 untuk 300 Mbps dan harga RM329 untuk 800 Mbps.

Sementara itu syarikat TM, telah meningkatkan kepantasan jalur lebar 10 kali ganda berbanding sebelum MSAP.

Pada Jun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menjangkakan menerusi MSAP harga jalur lebar akan dikurangkan sekurang-kurangnya 25 peratus menjelang 31 Disember ini.