Kejayaan tersebut sekali gus telah melayakkan empat sekolah berkenaan untuk ke peringkat kebangsaan bagi kategori Musalla Rendah dan Musalla Menengah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Muhammad Zahari Othman berkata, empat buah sekolah tersebut telah terpilih daripada keseluruhan 40 buah sekolah yang menyertainya.

“Untuk Asiss, kita membuat penilaian dari segi kebersihan, inovasi, aktiviti serta inisiatif yang diterapkan oleh pihak sekolah dalam usaha untuk mengimarahkan musalla.

“Oleh itu, setiap sekolah yang terlibat akan menjalani sesi penilaian dan disenarai pendek oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk ke peringkat negeri dan seterusnya kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Taklimat dan Majlis Asiss & Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (SSKPM) - Bank Islam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2017 di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Zahari berkata, untuk anugerah SUMUR pula, seramai 71 pelajar menerima anugerah tersebut.

“Anugerah SUMUR ini telah melibatkan 176 buah sekolah menengah di seluruh daerah di mana setiap pelajar tingkatan satu hingga lima perlu mengamalkan empat modul SUMUR.

“Empat modul berkenaan adalah berbudi bahasa, jati diri, penampilan diri dan Mutadayin (cara hidup islam). Pelajar ini perlu lulus dalam kesemua modul itu sebelum dinobatkan sebagai Tokoh SUMUR,” katanya. - UTUSAN ONLINE