Tiga yang maut me­rupakan kanak-kanak dengan dua daripa­danya perempuan, mati dalam serangan bom.

Seorang lagi yang terbunuh adalah lelaki dewasa yang datang ke Syria untuk menyertai militan Daesh.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga kanak-kanak yang maut dipercayai anak salah seorang bekas pemimpin militan Daesh Malaysia dan identiti mereka terpaksa dirahsiakan bua­t masa ini.

Menurutnya, identiti lelaki yang maut dan yang ditahan puak Kurdish juga belum dapat didedahkan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki itu dipercayai telah menyer­tai peperangan antara kumpulan militan Daesh dan puak Kur­dish.

Ujarnya, maklumat lanjut mengenai tarikh kematian dan penahanan kedua-dua mereka masih dalam siasatan.

“Kedua-dua mereka antara 11 individu yang terdiri daripada lima keluarga dan dikatakan telah ma­suk ke Turki secara sah sebelum menyelusup ke Syria secara haram sejak lima tahun lalu.

“Bagaimanapun, kelima-lima keluarga terlibat tidak berada di kawasan yang sama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Ayob Khan ketika ditemu ramah di dalam program Soal Jawab di TV3 mendedahkan sebanyak lima keluarga rakyat Malaysia telah terperangkap di Syria selepas menyertai kumpulan militan.