Mereka, Johan Teoh Kim Foong, Syed Fairuz Izzat, Kavin Raj dan Amir Hafiz, masing-masing berusia 15 tahun, telah merangka idea kreatif, membahagikan tugas dan mula merakamkan video mengikut piawaian yang disyaratkan penganjur.

Menurut Johan, dia sudah mempunyai beberapa idea dan jalan cerita yang boleh digunakan untuk pertandingan itu tetapi perlu terlebih dahulu dibincangkan dengan guru pembimbing, Zainul Alam Yaakub dan juga rakan-rakan lain.

“Kami sudah berkawan sejak tingkatan satu dan sudah kenal perangai masing-masing, Syed dan Amir sudah biasa menggunakan gajet maka tugas me­rakam memang sesuai dengan mereka manakala saya dengan Kavin akan merangka beberapa idea dan skrip yang menepati tema muhibah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di SMK Kajang Utama di sini hari ini.

Pertandingan video pendek #muhibah tajaan syarikat gergasi hartanah, Orando Holdings berlangsung setahun dari 1 Januari hingga 31 Disember 2018.

Empat pemenang akan dipilih setiap bulan yang menawarkan hadiah tunai RM1,000 untuk setiap pemenang.

Penyertaan mestilah dalam bentuk video pendek selama dua minit dengan penerangan tidak lebih 150 patah perkataan menggunakan bahasa Malaysia dan perlu dihantar ke pautan www.muhibah.com.my.