Sebelum itu, mayat Ikal Ayel, 9 dan Linda Rosli, 8, serta rangka Haikal Yaakob, 8, dan Juvina David, 7, dituntut keluarga pada pukul 10 pagi ini di Hospital Gua Musang.

Keempat-empat mangsa dibawa ke kampung halaman mereka menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan tiba di Kampung Penad kira-kira tiga jam kemudian.

Mereka selamat dikebumikan mengikut adat resam masyarakat Orang Asli suku Temiar pada pukul 2 petang.

Upacara pengebumian turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Nisra Nisran Ramlan dan Pengarah Jakoa Kelantan dan Terengganu, Nik Man Nik Ya.

Turut kelihatan, ibu Haikal, Midah Angah, 40, yang sebelum ini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu kerana menemani seorang lagi anaknya yang terselamat, Norieen, 10, menerima rawatan.

Midah berkata, dia terpaksa berpisah dengan Norieen buat sementara waktu dan pulang ke Gua Musang, tengah malam tadi semata-mata mahu melihat jasad Haikal biarpun hanya tinggal rangka.

“Sekurang-kurangnya biarlah saya sempat melihat anak lelaki saya buat kali terakhir sebelum dia dikebumikan.

“Kami terkejut kerana rangka yang pada mulanya disangka Sasa sebenarnya ialah Haikal. Namun, saya bersyukur Haikal dijumpai lebih awal,” katanya.

Sementara itu, David Kausan, 32, bapa kepada Juvina pula berkata, memandangkan empat kanak-kanak itu sekampung dan bersahabat baik, dia dan isteri serta keluarga mangsa yang lain setuju mengebumikan mereka dalam satu kubur.

Pada 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi dilaporkan hilang sebelum operasi mencari dilancarkan secara besar-besaran.

Selain empat kanak-kanak itu, tiga lagi mangsa ialah Mirsudiar Aluj, 11; Norieen Yaakob, 10, serta Sasa Sobrie , 8.

Mirsudiar dan Norieen dijumpai selamat dan sedang bersembunyi di dalam banir sebatang pokok di tepi Sungai Perias, 48 hari kemudian manakala jasad Sasa pula sehingga kini belum ditemukan.