Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ranca­ngan pembangunan komprehensif sepanjang 2016 hingga 2025 itu juga bakal mencipta lebih 161,000 peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan utara.

Menurut beliau, peluang pe­ker­jaan itu melibatkan 80 projek pembangunan dalam pelbagai bidang utama seperti perindustrian, pertanian, pelancongan, perkhidmatan, pembuatan dan sebagainya.

Najib memberitahu, mene­rusi Blueprint 2.0 juga, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dijangka mencecah RM300 bilion menjelang 2025 dengan purata pendapatan isi rumah meningkat kepada RM12,964 manakala purata pendapatan isi rumah golongan berpendapatan rendah (B40) pula akan dilonjakkan sehingga mencapai RM6,043.

“Setakat akhir 2015 iaitu pada akhir Rangka Tindakan atau Blueprint yang pertama, NCER telah mencatat jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM71.6 bilion.

“Insya-Allah, pada 2025 nanti, NCER bakal merealisasikan jumlah pelaburan terkumpul sehingga mencecah RM146.5 bi­lion,” katanya ketika berucap me­lancar­kan Blueprint 2.0 itu di Pusat Konvensyen Setia City, Bayan Lepas di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

Menurut Najib, sebagai pemudah cara dalam membawa pembangunan dan pembaharuan berimpak tinggi di setiap empat negeri di wilayah ini, kerajaan te­lah bertindak meluluskan insentif cukai istimewa bagi syarikat-syarikat berkelayakan yang ingin merebut peluang dan mengambil bahagian dalam usaha mencungkil potensi wilayah ekonomi itu.

Ujar beliau, syarikat-syarikat yang melibatkan diri dalam bidang-bidang utama wilayah utara seperti, pembuatan, pertanian, industri-bio dan perkhidmatan akan menerima kelebihan utama berbanding yang lain.

“Kepada pihak NCIA, adalah harapan saya untuk meneruskan legasi dan merealisasikan impian kerajaan untuk menyelesaikan isu seperti jurang pendapatan dan ketidaksamaan sosial dan memastikan masyarakat Malaysia maju dari segi ekonomi dan sosial,” katanya.