Program bertemakan kesihatan yang julung-julung kali diadakan itu melibatkan agensi seperti Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa) Negeri Sembilan dan Melaka; syarikat AUO Crystal (M) Sdn. Bhd. (AUO Crystal); Pusat Perubatan Mahkota dan Prudential BSN Takaful cawangan Melaka.

Antara program yang diadakan sepanjang hari ini adalah ceramah kesihatan yang disampaikan oleh pakar Radioterapi dan Onkologi Pusat Perubatan Mahkota, Dr. Hayani Abdul Wahid, penyampaian bantuan makanan dan hamper oleh AUO Crystal dan khidmat kaunseling insurans oleh Prudential BSN Takaful.

Pengarah Urusan AUO Crystal, Ollivent Weng berkata, program ini diadakan dengan penglibatan agensi-agensi swasta dan kerajaan untuk membantu masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.

“Sebagai contoh, penduduk akan mendapat khidmat rawatan kesihatan dan taklimat mengenai kanser secara percuma, penerangan mengenai penjagaan kesihatan dan takaful diri serta maklumat mengenai Jakoa.

“Sebagai sebuah syarikat pembekal produk untuk teknologi solar iaitu Silicone Wafer, AUO Crystal berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan program CSR itu sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ketua Prudential BSN Takaful wilayah, Norbaizura Burhanuddin; Pegawai Pemasaran Pusat Perubatan Mahkota, Nur Zulaiqha Al-Juhari; Pembantu Pembangunan Masyarakat Jakoa Negeri Sembilan dan Melaka, Nurul Huda Mihat dan Tok Batin Kampung Bukit Payung, Nur Isjemei Ismail. - UTUSAN ONLINE