Abdul Fattah Abdullah

Presidennya ACO, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pi­haknya mendapat persetujuan untuk ber­kolaborasi dengan syarikat dari Indonesia, Dataran Perintis Sdn. Bhd. serta ‘All China Federation of Supply and Marketing Cooperative’ (ACFSMC) demi me­ningkatkan jaringan pengedaran termasuk pemasaran dan promosi itu di China.

Beliau yang juga Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) memberitahu, walaupun durian merupakan produk utama, penganjur program, Regal International Group tidak mengetepikan produk-produk lain dan boleh juga dipasarkan dalam festival tersebut.

“Disebabkan durian mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di sana, jadi peluang keemasan itu tidak seharusnya dilepaskan oleh ko­perasi di Malaysia dan di rantau ASEAN untuk mengeks­port raja buah ber­kenaan secara skala besar.

“Diharapkan pemasaran produk pertanian yang bermutu tinggi ke negara ASEAN dan China mampu meningkatkan pendapatan koperasi selain turut melon­jakkan taraf ekonomi negara kita,” katanya.

Abdul Fattah berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat Dataran Perintis di Wisma Ungku Aziz, Kelana Jaya di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail dan Pengarah Eksekutif Regal International, Nicholas Wong.

Sementara itu, difahamkan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek akan merasmikan Festival Raja Durian tersebut bermula 3 November depan dan beberapa wakil daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga turut hadir memeriahkan majlis itu.

Tambahnya, sebanyak 7,000 koperasi berasaskan pertanian termasuk komoditi daripada Malaysia akan menggunakan peluang tersebut untuk mengeksport produk-produk berkaitan ke negara China.

“Kami (AKO) akan memainkan peranan sebagai penasihat dan penyelaras kepada badan-badan koperasi di rantau ASEAN. Kami bersedia memimpin serta memperbaiki hubungan strategik antara setiap ahli walaupun me­rentasi sempadan.

“Di Naning nanti, kami akan menandatangani satu lagi perjanjian persefahaman dengan ACFSMC. Diharapkan ACO terus menjalinkan kerjasama yang erat dengan negara China demi memastikan peningkatan eksport produk-produk kita di sana,” katanya.