Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah berkata, program tersebut yang diwujudkan bagi meneguhkan jati diri dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia juga memberi peluang kepada golongan belia untuk menulis dan berkongsi idea.

Beliau berkata, sebagai permulaan MBM menerima akses percuma e-Paper tersebut bermula kelmarin hingga 16 September ini.

“Sebelum ini anak muda mengadu tidak mempunyai platform untuk menyuarakan pendapat dan idea mereka, menerusi platform ini Utusan Online memberi peluang serta ruang untuk golongan belia menulis artikel.

“Artikel yang disumbangkan bukan sahaja akan disiarkan dalam ruangan Malaysia Kita tetapi juga berpeluang disiarkan dalam akhbar cetak Utusan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyerahan akhbar digital e-Paper Utusan Malaysia kepada MBM di Hotel Palm Garden di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Presiden MBM, Muammar Gadafi Jamaluddin; Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Jamal Ahmed Ali Ahmad dan Pengarang Media Baharu Utusan, Marhaini Kamaruddin.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, peluang untuk menulis dalam ruangan Malaysia Kita juga dibuka kepada golongan muda lain seperti penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta penuntut di kolej-kolej komuniti.

Selain itu, katanya, pembaca terpilih juga berpeluang untuk menyertai pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan oleh Utusan Online seperti forum, bengkel dan program siaran langsung.

Sementara itu, Muammar Ga­dafi berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama yang diberikan oleh akhbar Utusan Malaysia dalam menyediakan platform untuk golongan belia menulis me­ngenai aktiviti-aktiviti belia di seluruh negara.

“Untuk artikel pertama MBM telah berkongsi artikel mengenai peranan MBM sebagai pemerhati bebas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang memandangkan bahang pilihan raya sudah semakin dekat.

“Dalam PRU-14 ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberi pengiktirafan kepada MBM untuk menghantar tiga wakil bagi setiap kawasan parlimen di seluruh negara sebagai pemerhati bebas,” katanya.