Berlangsung di Dewan Tun Abdul Ghaffar Baba, Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, majlis yang dipanggil Walimatul Urus Qubro 2016 itu dihadiri lebih 10,000 tetamu dari seluruh negeri.

Majlis tersebut dianjurkan Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (Khadam) serta Pergerakan Puteri UMNO Ketereh.

Antara yang hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Makhtar Mustapa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Terdahulu, semua pasangan mempelai terbabit diarak menaiki pelbagai jenis kereta mewah menuju ke lokasi persandingan bermula pukul 11 pagi.

Mereka turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian serta tarian tradisional oleh kumpulan penari dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sementara itu, pengantin baharu, Siti Izarina Yajib, 27, dan suami, Afendy Ab. Rahman, 27, mengakui mereka bertuah dapat melangsungkan perkahwinan yang meriah menerusi Walimatul Urus Qubro 2016.

“Majlis anjuran Khadam dan UMNO Ketereh ini bukan sahaja meringankan beban kewangan saya dan suami, malah membolehkan impian kami untuk berumah tangga menjadi kenyataan lebih awal dari rancangan asal,” katanya.

Menurut Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, program Walimatul Urus Qubro 2016 julung-julung kali diadakan namun mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia dari seluruh negeri ini.

“Kita berjaya menjimatkan kos pasangan ini kerana pada anggaran kasar, untuk satu majlis perkahwinan mereka sepatutnya membelanjakan kira-kira RM15,000. Dalam program ini mereka hanya bayar RM2,500 sahaja,” katanya.

“Walimatul Urus Qubro ini akan dijadikan satu acara tahunan. Mungkin tahun depan kita boleh tarik lebih ramai penaja bagi mengurangkan lagi kos yang perlu dibayar oleh peserta,” katanya.