Syarikat berkenanaan juga dipercayai menarik balik beberapa faedah lain termasuk elaun kehadiran, lokasi dan makan serta kemudahan perubatan.

Menurut pekerjanya, masalah tersebut sudahpun berlarutan sejak September tahun lalu dan perjumpaan dengan majikan telah diadakan beberapa kali namun masih tiada penyelesaian.

Wakil Kesatuan Pekerja Industri Petroleum dan Kimia Kebangsaan (NUPCIW) di syarikat itu berkata, isu bayaran gaji lambat bermula apabila majikan memaklumkan terdapat masalah pada sistem teknologi maklumat (IT).

"Sejak itu, gaji setiap bulan mula dibayar lewat, malah pada Februari lalu gaji pekerja dibayar pada hujung bulan Mac.

"Sekarang kali terakhir pekerja terima gaji adalah pada bulan Jun, sementara gaji bulan Julai dan Ogos tidak dibayar," kata mereka ketika ditemui wartawan Utusan Online, hari ini.

Pekerja juga mendakwa majikan tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan bayaran pinjaman melalui potongan gaji.

"Sudah lebih lima bulan tiada caruman KWSP dibuat dan Perkeso pula sudah lebih setahun. Bayaran melalui potongan gaji lain pun tidak dibuat tetapi, gaji kami dipotong seperti yang tercatat dalam penyata.

"Kami sudahpun mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Pengarah Eksekutif dan Presiden syarikat untuk mengadu masalah sedemikian, namun jawapan yang diberikan tetap sama, seperti tiada tindakan penyelesaian," jelas mereka.

Mereka juga turut menimbulkan persoalan jika syarikat mempunyai masalah kewangan tetapi bagaimana pun kerja-kerja pemprosesan masih berjalan.

"Kami diberitahu masih ada pembekal dan kontrak dengan Kementerian Pertahanan masih berjalan, tetapi majikan tetap memberitahu syarikat mempunyai masalah kewangan.

"Jadi kami mohon perhatian pihak berwajib termasuk JTK supaya mengambil tindakan terhadap masalah berkenaan sedangkan gaji bulan ini (September) belum tahu akan dibayar ataupun tidak," katanya. - UTUSAN ONLINE