Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, ia melibatkan sebanyak 181 syarikat tempatan serta 173 syarikat antarabangsa dan menjangkakan jumlah penyertaan itu akan bertambah dari semasa ke semasa.

“Setakat hari ini, peratusan tempahan ruang pameran telah menjangkau 109 peratus dengan keluasannya kira-kira 11,037 meter persegi.

“Malah, 12 buah negara juga sudah mengesahkan penyertaan secara berkumpulan atau Pavilion Negara iaitu antaranya Australia, Belarus, China, Perancis dan beberapa buah negara lagi,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaafar dan Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Tambah Mohamad, antara syarikat tempatan yang menyertai LIMA 2019 adalah BHIC, NADI, Muhibbah Engineering dan Sapura Group, manakala syarikat antarabangsa yang mengesahkan kehadiran adalah Aselsan, BAE System, Rafale International dan Turkish Aerospace Industries.

“Turki juga merupakan Pavilion Negara terbesar dalam LIMA kali ini iaitu 730 meter persegi ruang pamerannya diikuti Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Perancis,” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad berkata, sebanyak 24 buah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan juga telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Di samping itu, acara yang dinanti-nantikan iaitu pertunjukan udara bakal menyaksikan kehebatan pasukan aerobatik seperti Jupiter dari Indonesia beraksi di ruang angkasa Langkawi,” ujarnya.

Beliau juga menghargai komitmen rakan penaja LIMA seperti Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Affin Bank Bhd., Petronas dan syarikat pengeluar jam tangan, Oris. - UTUSAN ONLINE