Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad berkata, daripada jumlah itu, Jabatan Audit Negara mengemukakan dua syor terhadap Penyata Kewa­ngan Kerajaan Persekutuan 2016, dengan 90 syor kepada aktiviti kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan, 17 syor kepada syarikat kerajaan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan 244 syor terhadap pengurusan aktiviti dan kewangan kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan negeri.

“Sebagaimana lazim, ketua jabatan berkenaan telah dimaklumkan terlebih dahulu tentang perkara yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk tujuan pengesahan,” katanya.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2016 Siri 1, mengandu­ngi Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, aktiviti kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan, pengurusan syarikat kerajaan dan agensi kerajaan persekutuan serta pengurusan aktiviti dan kewangan kementerian, jabatan, agensi dan pengurusan syarikat kerajaan ne­geri untuk tahun yang sama.

Ia dibentangkan di Parlimen hari ini selepas mendapat per­kenan Yang di-Pertuan Agong.

Madinah berkata, Laporan Ke­tua Audit Negara kali ini antara lain mengandungi pengesahan pe­nyata kewangan kerajaan persekutuan, prestasi hasil kutipan Kerajaan Persekutuan, pengauditan pengurusan kewangan (indeks akauntabiliti) serta pengaudi­tan prestasi terhadap program dan aktiviti kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Beliau berkata, hasil Kerajaan Persekutuan pada 2016 berjumlah RM212.421 bilion berbanding RM219.089 bilion pada 2015.

Kutipan hasil menunjukkan trend penurunan berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Mengenai penarafan tahap pres­­tasi pengurusan kewangan, se­banyak 25 kementerian, 18 jabatan persekutuan, 38 badan berkanun persekutuan, 138 kementerian/jabatan negeri, 41 badan berkanun negeri, 41 pihak berkuasa tempatan dan enam Majlis Agama Islam telah diaudit.

Bagi pengauditan prestasi terhadap program/aktiviti/projek kerajaan, Madinah berkata, sebanyak 63 pengauditan prestasi dan 21 pengauditan pengurusan syarikat kerajaan dilaksanakan di peringkat persekutuan dan nege­ri, merangkumi bidang program, pembinaan, penyenggaraan, perolehan, pengurusan, hasil dan pengurusan syarikat. Selain itu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan laporan maklum balas mengenai laporan itu yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada ketua setia­usaha kementerian dan ketua jabatan terhadap isu yang dilaporkan, kata beliau.

Menurut Madinah, sebanyak 187 daripada 307 kementerian, jabatan persekutuan dan badan berkanun persekutuan, kementerian/jabatan negeri, badan berkanun negeri, pihak berkuasa tempatan dan Majlis Agama Islam mendapat penarafan cemerlang (5 bintang).

“Sebanyak 25 kementerian memperoleh penarafan cemerlang berbanding 16 kementerian pada 2015,” kata beliau.

Madinah berkata, kandungan laporan itu berserta sinopsisnya boleh dilayari di laman sesawang Jabatan Audit Negara.

Katanya, satu sesi bersama media mengenai Laporan Ketua Audit Negara akan diadakan Khamis (3 Ogos) di Auditorium Kompleks C, Putrajaya pada 12 tengah hari, yang akan dihadiri Ketua Setia­usaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan ketua-ketua setiausaha kementerian. – BERNAMA