Salah seorang kakitangan yang enggan dikenali berkata, keempat-empat IPTS terletak di bawah pihak pengurusan yang sama itu berdepan masalah untuk meneruskan operasi ekoran isu pertikaian dalaman syarikat.

Ujarnya, nasib kira-kira 1,000 pelajar juga terumbang-ambing selepas pihak pengurusan didakwa memanjangkan cuti semester mereka sehingga September depan.

“Gaji kami tidak dibayar sejak dua bulan lalu dan tiada sebarang notis dikeluarkan bila gaji akan dibayar. Sebahagian daripada kami ada yang telah berhenti kerja.

“Bagaimana kami mahu menampung kehidupan dan kami tertanya-tanya apa penyelesaiannya nanti. Nasib pelajar juga perlu difikirkan kerana kira-kira 1,000 pelajar sedang dicutikan sehingga bulan depan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar yang bertemu pihak atasan IPT itu berharap isu berkenaan dapat diselesaikan segera.

“Saya cuma dapat bertemu dengan Timbalan Naib Canselor dan telah meminta untuk berjumpa dengan pemilik serta pengarah IPTS berkenaan dalam masa terdekat,” katanya.

Jelasnya, isu tersebut telah diadukan kepada Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan dan kes telah difailkan di Mahkamah Majistret Seremban baru-baru ini.

“Bagaimanapun, sebutan kes di mahkamah akan bermula pada 27 September dan ini bermakna dalam tempoh itu kakitangan akan menghadapi kesulitan.

“Saya telah maklumkan perkara ini kepada Timbalan Menteri Pendidikan supaya ada penyelesaian segera. Pihak pengurusan kena bertanggungjawab dan jangan jadikan pekerja serta pelajar mangsa kepada masalah dalaman syarikat,” katanya. - UTUSAN ONLINE