Peraduan yang dianjurkan selama 13 bulan oleh Kumpulan Utusan menerusi dua akhbar terbitannya iaitu Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan menerusi lebih 7,000 penyertaan.

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad berkata, penganjuran peraduan tersebut merupakan salah satu cara syarikat berinteraksi bersama pembaca dengan menyediakan hadiah menarik untuk direbut.

“Kami menganjurkan peraduan ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada semua pembaca setia Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang selama ini menyokong kami, kami sediakan soalan yang mudah-mudah bagi membolehkan pembaca kami memperoleh hadiah menarik yang telah disediakan.

“Tanpa sokongan tidak berbelah-bahagi daripada anda semua kepada kami mana mungkin Utusan Malaysia mampu meneruskan kelangsungannya dan saya berharap anda semua terus menyokong kami,” katanya ketika berucap dalam majlis ber­kenaan.

Yang turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor dan Pe­ngarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan #UMenangsakan Bonanza Edisi Kedua terbahagi kepada tiga edisi iaitu edisi pertama yang telah dijalankan pada 6 Julai lalu, edisi kedua hari ini dan ketiga pada awal tahun hadapan.

Dalam majlis berkenaan, seorang pemenang utama mene­rima sebuah kereta Proton Iriz 1.6 Premium sumbangan syarikat Proton Holdings Bhd., tiga pemenang televisyen Pensonic 40 inci tajaan syarikat Pensonic Sdn. Bhd. dan tiga pemenang telefon pintar Huawei tajaan Farmasia Sdn. Bhd. serta 25 pemenang lain masing-masing membawa pulang seutas jam tangan Ice Watch tajaan Time Zone Sdn. Bhd.