Mesej yang tular itu mendakwa cuti umum adalah selaras dengan tarikh stiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Menurut Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC), merujuk kepada maklumat yang diberikan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dimaklumkan tarikh 31 Januari 2019 adalah tarikh Mesyuarat Majlis Raja-raja yang Ke-252 (Khas) Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan.

"Turut dimaklumkan bahawa tiada cuti diwartakan untuk tarikh tersebut kerana hanya mesyuarat dan bukan hari pertabalan Yang di-Pertuan Agong," menurut kenyataan MyGCC yang disiarkan dalam laman Facebook agensi kerajaan itu.

Menurut MyGCC lagi, pemakluman berkaitan cuti Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan dihebahkan melalui Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara kerajaan, Jabatan Perdana Menteri (Kabinet) selepas mesyuarat tersebut selesai dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. - UTUSAN ONLINE