Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin berkata, pihaknya mahu kerajaan bertindak tegas berikutan perkhid­matan teksi Uber dan GrabCar secara jelas telah me­langgar undang-undang negara seperti di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

“Kami tidak pernah membantah atau menolak kemajuan teknologi, tetapi dalam hal ini kemajuan teknologi telah disa­lahgunakan oleh pemilik aplikasi Uber dan GrabCar dengan menyediakan kemudahan tersebut kepada kenderaan persendirian dan pemandu yang tidak sah.

“Sejak perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar diperkenalkan, ke­semua pemandu teksi berdepan masalah pendapatan berkurangan sehingga 65 peratus. Isu ini tidak boleh berlarutan dan kerajaan perlu menyelesaikan segera isu ini agar tidak berpanjangan,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menye­rahkan memorandum tersebut kepada Penolong Setiausaha Pejabat Pejabat Perdana Menteri, Megat Shah Hamerul Megat Mohd. Yusof di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 200 pemandu teksi berkumpul di hadapan Bangunan Perdana Putra sambil membawa sepanduk yang mendesak perkhidmatan teksi Uber dan GrabCar diharamkan.