Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, lebih 300 peneraju industri akan terlibat dalam persidangan tersebut berbanding 265 peneraju industri pada tahun lalu dan 160 peneraju industri tahun sebelumnya.

“Alhamdulillah kita telah mencapai sasaran ini dan peneraju industri juga cukup teruja dengan Perak Festival of Ideas yang sedang dianjurkan dan menantikan apa yang akan diperolehi sepanjang dua hari persidangan itu berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Konvensyen badan bukan kerajaan (NGO) 2017: Pendekatan Inovatif Menjamin Kelestarian di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama Zambry berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan Dialog Pangkor yang dilakukan dan mendapati semua yang dirancang berjalan lancar dalam memastikan persidangan itu terus berkembang dan menjadi temasya yang hebat.

Malah katanya, sambutan yang baik juga bukan sahaja diterima dalam kalangan penduduk di negeri ini, malah luar dari Perak dan masyarakat antarabangsa.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat. Program ini merupakan projek yang bersifat strategik di mana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang diwakili Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bekerja dengan rapat bagi memastikan program ini menjadi produk dan jenama besar di peringkat antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini lebih 6,000 idea berjaya dikumpul dan pihaknya yakin sasaran 10,000 idea yang ditetapkan akan dicapai menjelang hari terakhir persidangan tersebut.

“Sepanjang yang saya lihat, ramai yang datang memberi cada­ngan dan komen-komen yang baik. Tidak ada yang melemparkan kata-kata nista dan berbaur politik.

“Malah, bekas angkawasan wanita Amerika Syarikat (AS), Dr. Catherine Cady Coleman dalam satu programnya di sini turut menyatakan kekaguman dan terkejut bagaimana sebuah negeri seperti Perak dapat mengadakan program seperti ini,” katanya.