Jurucakapnya, Muhammad Yusuf Azmi berkata, bantahan yang disuarakan mereka perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan kerana isu berkenaan melibatkan soal keselamatan negara.

Katanya, kerajaan Pulau Pinang perlu campur tangan kerana Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu memegang jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Secara kebetulan beliau (P. Ramasamy) yang didakwa mempu­nyai kaitan dengan LTTE berketurunan India. Sekiranya beliau seorang berbangsa Melayu atau Cina, kami akan turut melakukan tindakan sama kerana majoriti rakyat negara ini menolak fahaman pengganas, kerana kita mahu hidup harmoni,” katanya.

Kumpulan berkenaan kemudian berarak sejauh 500 meter dari Masjid Jamek Simpang Enam di Jalan Macalister di sini menuju ke Kompeks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi menyerahkan memorandum serta membawa pelbagai sepanduk mengecam Ramasamy.

Ramasany sebelum ini menafikan beliau terlibat dengan aktiviti LTTE serta menyifatkannya sebagai fitnah keterlaluan.

Keadaan sedikit tegang apabila terdapat kira-kira 100 individu diketuai Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshal turut berkumpul di situ sejak pukul 12.30 tengah hari untuk mempertahankan Ramasamy.

Perhimpunan selama kira-ki­ra 30 minit itu bagaimanapun terkawal apabila Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar bersama kira-kira 70 anggotanya tampil membuat hadangan bagi memisahkan kedua-dua kumpulan.

Polis turut membenarkan wakil NGO Islam menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Ramasamy, Adreena Kaur dan Pegawai Penerangan Kerajaan ne­geri, Zahar Zainun sebelum mengarahkan mereka bersurai.

Mengulas lanjut, Muhammad Yusuf berkata, polis perlu me­lakukan siasatan terperinci dan mengambil tindakan tanpa ada unsur berat sebelah membabitkan penglibatan Ramasamy yang menyokong LTTE.

Ini kerana jelasnya, terdapat penangkapan dibuat terhadap rakyat negara ini yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Daesh.

Sementara itu, Anuar berkata, polis dijangka memanggil wakil kedua-dua kumpulan berkenaan kerana tidak mengikut syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.