Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pada peringkat permulaan, set-set dekoder bagi tujuan penyiaran dipasang di beberapa daerah di Pantai Timur seperti di Bukit Besar, Kuala Terengganu; Bukit Bakar, Kelantan dan Bukit Pelindung di sini.

“Kita menjangkakan pada Januari depan, semua daerah di Pantai Timur mula menerima siaran daripada MYTV Broadcasting (MYTV) ini.

“Kempen siaran ujian MYTV akan diperluas ke Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat sebelum ke utara serta selatan Semenanjung yang seterusnya berakhir di Lembah Kelang menjelang hujung tahun depan,” katanya selepas meninjau pemasangan set-set dekoder siaran ujian MYTV di Beserah hari ini.

Semasa lawatan itu, beliau singgah di kediaman seorang daripada peserta siaran ujian tersebut iaitu A. Rahman Abu Bakar di Kampung Rumbia.

Menurut Ahmad Shabery, sebanyak dua juta unit dekoder diedarkan secara percuma kepada isi rumah terpilih sempena kempen ujian siaran berkenaan.

Katanya, penerima dipilih dalam kalangan mereka yang tidak melanggan perkhidmatan siaran berbayar dan kediaman terletak di kawasan liputan siaran percubaan.

“Set-set ujian tersebut akan diganti dengan dekoder sebenar setelah tempoh siaran percubaan berakhir. Setakat ini, saya berpuas hati dengan hasil pemasangan untuk siaran ujian yang dijalankan MYTV.

“Melihat kepada sambutan dan maklum balas yang diberikan peserta siaran ujian, saya percaya projek pendigitalan ini akan berjalan dengan lancar dan Malaysia bersedia untuk berhijrah sepenuhnya daripada siaran berbentuk analog kepada digital menjelang tahun 2017,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendigitalan sistem penyiaran itu membolehkan rakyat Malaysia menikmati dan meraih pelbagai peluang gaya hidup melalui maklumat serta pendidikan yang disediakan menerusi pelbagai saluran.