Ketua Ahli OKB OKU, Dr. Nor Wahiza Abdul Wahat berkata, program yang diadakan tersebut mampu membuka peluang kepada peserta untuk mengasah bakat dan potensi mereka sebagai pengacara majlis sekali gus mewujudkan peluang sosialisasi yang inklusif antara peserta OKU dan bukan OKU.


“Usaha ini adalah selari dengan moto unit khas OKB OKU iaitu Tekad Ke Arah Pembentukan Masyarakat Inklusif di mana program ini dapat merapatkan jurang pergaulan golongan OKU dan juga masyarakat.


“Selain itu, bengkel ini juga diharapkan akan memberi peluang kepada golongan OKU untuk menceburkan diri dalam bidang baharu supaya mereka lebih berdikari dan kreatif dalam menjana pendapatan untuk membuktikan keupayaan mereka sama seperti orang normal,” katanya ketika ditemui di bengkel tersebut dekat sini hari ini.


Unit Khas OKB OKU telah ditubuhkan pada 29 Mei tahun lalu sekali gus menjadikan POKB sebagai satu-satunya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini yang menubuhkan unit khas khusus untuk memperkasa OKU dan mengupayakan masyarakat dalam membangunkan OKU.


Dalam pada itu, Nor Wahiza berkata, bengkel lanjutan bagi program hari ini turut bakal diadakan pada 12 November depan sekali gus menyasarkan jumlah penyertaan seramai 50 orang.


“Saya berharap dengan program yang diadakan ini dapat melarikan stigma masyarakat terhadap golongan OKU iaitu daripada konsep simpati kepada empati serta daripada konsep kebajikan kepada pemerkasaan,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE