NORDIN ABDUL MALIK

Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malik berkata, hal demikian ini kerana dana PTPK sebanyak RM95 juta yang disediakan oleh Kementerian Tenaga Manusia dikatakan tertangguh untuk disa­lurkan kepada para pelatih.

“Setelah kami melakukan ba­nyak perbincangan di peringkat kementerian, masing-masing memberikan alasan, mereka belum menerima arahan terkini dan muktamad terutama daripada Kementerian Kewangan.

“Keadaan ini menyebabkan hampir 30,000 pelatih lama dan baharu dijangka tidak dapat mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus kemahiran masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Persekutuan Pusat-pusat Latihan Kemahiran Jabatan Pembangunan Kemahiran Swasta Malaysia, P. Sailanathan; Pengerusi Gabungan Pusat Latihan Kemahiran India Malaysia, Datuk Ibrahim Shah Sahul Hamid dan Ketua Penerangan MBM, Mohammad Rizan Hassan.

Nordin berkata, pihaknya menye­dari Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baharu memerlukan masa menyesuaikan keadaan, menyusun jentera dan hala tuju.

“Akan tetapi apabila melibatkan dana awam lebih-lebih lagi memastikan kesinambungan untuk pendidikan kemahiran yang sama penting seperti peringkat pendidikan lain di Kementerian Pendidikan, dana sedia ada perlu disalurkan segera,” katanya.

Menurutnya, seramai 70,000 calon daripada 261,474 baki pelajar tidak mendapat tempat di mana-mana institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA) selepas didapati tidak layak mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Mereka menjadi harapan kita untuk mengikuti kemahiran swasta yang ditawarkan di hampir 400 pusat PB bagi memastikan calon tidak terjebak dengan masalah gejala sosial termasuk penagihan dadah, pergaulan bebas dan sebagainya akibat tidak mempunyai kelulusan dan kemahiran.

“Tetapi apabila mereka ditawarkan ke PB namun tanpa disediakan kemudahan pinjaman pelajaran tabung PTPK ini, kita bimbang program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tidak akan berjaya dilaksanakan di negara ini.

“Sedangkan PH turut meletakkan agenda TVET sebagai sebahagian manifesto mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 baru-baru ini,” katanya.