Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema), Datuk Mohd. Hatar Ismail berkata, pekerja daripada Nepal dan Indonesia yang paling ramai dihantar pulang selepas gagal ketika menjalani saringan kesihatan ini walaupun telah menjalani pemeriksaan di negara asal mereka.


“Kebanyakan pekerja Nepal yang gagal dalam pemeriksaan kesihatan disebabkan pengambilan candu dan ganja lagipun di negara asal mereka pengambilan barangan tersebut tidak menjadi kesalahan manakala kebanyakan pekerja dari negara lain pula berdepan dengan masalah penyakit tibi, kusta, malaria dan juga AIDS.


“Walaupun jumlah tersebut dilihat sebagai kecil namun ia penting bagi mengelakkan penyakit-penyakit berbahaya terus merebak di negara ini sekali gus menjejaskan kesihatan penduduk di negara ini,” katanya selepas hadir ke Majlis Derma Darah 2017 di Ibu Pejabat Fomema di sini hari ini.


Program tanggungjawab sosial tersebut merupakan acara tahunan yang dijalankan oleh Fomema dengan kerjasama Pusat Darah Negara bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma darah dalam menyelamatkan nyawa insan lain.


Katanya, program yang menyasarkan seramai 150 pen­derma itu juga menjadi salah satu cara organisasi berkenaan menyumbang semula kepada masyarakat.


Mohd. Hatar berkata, kegagalan saringan kesihatan dikatakan sebahagiannya akibat tindakan pekerja asing terbabit melakukan penipuan sijil kesihatan untuk membolehkan mereka masuk bekerja di negara ini.


“Walaupun mereka melalui pelbagai halangan untuk datang ke sini, namun jika dapati pemeriksaan itu gagal kita terpaksa menghantar mereka pulang ke negara asal bagi mengelak rakyat kita terjebak dengan penyakit-penyakit berbahaya,” ujarnya.


Dalam perkembangan lain, beliau menggesa supaya majikan terus membuat pemeriksaan berkala kepada pekerja terutama pembantu rumah bagi memastikan sentiasa sihat dan boleh bekerja dengan baik.


“Buat masa ini, pekerja asing hanya perlu menjalani pemeriksaan sebanyak tiga kali sepanjang berada di negara ini walaupun mereka berada di negara ini melebihi 10 tahun,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE