Hari ini, wartawan Harian Metro, Mary Victoria Dass mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar selepas hidungnya berdarah, sakit tekak, loya dan pening kepala ketika membuat liputan di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Mary yang sudah bertugas selama 13 tahun berkata, dia mula berasa tidak sedap badan semasa berehat di rumah malam tadi diberikan cuti sakit selama dua hari mulai hari ini.

“Saya sudah mengalami selesema dan berasa tidak sihat sejak malam tadi tetapi saya kuatkan semangat untuk bekerja. Selepas sesak nafas dan hidung berdarah, saya terus mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Taman Mawar dan doktor mengesahkan saya mengalami kesan pencemaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Rabu lalu, Ernalisa dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sehari selepas mengalami sesak nafas dan pening semasa dalam perjalanan pulang ke kediamannya di Plentong di sini selepas membuat liputan pencemaran toksik di Pasir Gudang.

Dia yang merupakan pengamal media pertama dipercayai terkesan dengan pencemaran toksik Sungai Kim Kim kini sudah pun memulakan tugas seperti biasa, namun hanya membuat liputan di luar daripada kawasan zon merah.

Selain Ernalisa dan Mary, Ketua Biro TV3 Johor, Zahir Senapiah turut menjadi mangsa apabila muntah-muntah ketika berehat di rumah selepas pulang daripada membuat liputan di sekitar Pasir Gudang, pada hari sama.

Semua mereka yang mendapat simptom tersebut pernah membuat liputan di kawasan kejadian di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

Sementara itu, Presiden Kelab Media Johor, Mohammad Fauzi Ishak menasihati para pengamal media yang membuat liputan kejadian berkenaan supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan seperti pemaikaian penutup hidung dan mulut.

“Saya bersimpati dengan kejadian berlaku dan berharap rakan-rakan yang bertugas sentiasa berhati-hati serta peka ketika berada di lokasi bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. - UTUSAN ONLINE