Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, penahanan mereka itu dibuat selepas pihaknya menerima beberapa laporan polis berkaitan tindakan ketiga-tiga pemilik akaun tersebut yang menghina baginda.

“Tiga individu yang ditahan ialah pemilik akaun Facebook, Eric Liew Chee Ling, 45, selain dua pemilik akaun Twitter, Azham Akhtar Abdullah, 26, dan Nur Alia Astaman, 25.

“Mereka ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1984,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Fuzi turut menasihatkan masyarakat supaya menggunakan medium laman sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan bersifat provokatif atau memanipulasi isu peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong XV sehingga boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi diraja negara ini.

Sebelum ini, Eric Liew, dise­lar netizen berikutan komen jelek terhadap Sultan Muhammad V di media sosialnya yang tular sehingga menyebabkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pergerakan Pemuda UMNO membuat laporan polis bagi mendesak tindakan tegas kepada pemilik akaun itu.

Pemilik akaun Twitter, Nur Alia pula baru-baru ini mengundang kemarahan netizen apabila dia bersama seorang lagi pemilik akaun yang dipercayai suaminya, Azham Akhtar menulis komen menghina institusi diraja dan peletakan jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Akibat daripada komen jelek tersebut, Eric Liew yang bekerja di Cisco ASEAN telah dibuang kerja manakala Nur Alia yang merupakan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) digantung tugas serta-merta.