SAIFUDDIN ABDULLAH

Mereka ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang, Mohd. Tarmizi Shuib, 42, (Kedah) dan Mohamad Nazril His­ham Omar, 46, berasal Kelantan yang kini sedang dirawat di hospital sama.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) berkata, ketiga-tiga mereka yang bekerja di Christchurch akan menjalani pembedahan termasuk seorang yang bakal menjalani pembedahan kali kedua.

‘‘Saya difahamkan ketiga-tiga mereka dalam keadaan stabil. Pembedahan itu adalah bagi mengeluarkan peluru dan yang berkaitan dengan luka dialami.

‘‘Selain itu, terdapat dua anak Mohd. Tarmizi terlibat iaitu Mohamad Haziq, 17, yang setakat ini belum dapat dikesan manakala adiknya, Mohamad Hariz, 12, dirawat di hospital kanak-kanak kerana trauma dengan kejadian itu,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di sini hari ini.

Dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch kira-kira pukul 1.40 petang waktu tempatan semalam, 49 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 40 cedera.

Menurut Saifuddin, kerajaan akan membantu dari segi urusan membawa keluarga ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera itu ke New Zealand.

Katanya, Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka di New Zealand kerana ada dalam kalangan ahli keluarga mereka seperti anak atau ibu bapa berada di Malaysia.

‘‘Kita akan cuba bantu uruskan perjalanan mereka ke sana dan mendoakan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera sembuh serta tiada perkara lebih mudarat berlaku. Kita juga doakan anak Mohd. Tarmizi ditemukan segera,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, dua pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand termasuk seorang atase tentera sudah berada di Christchurch selain seorang pegawai kanan Wisma Putra berlepas ke Christchurch bagi membantu pelbagai urusan berkaitan rakyat Malaysia di situ.

‘‘Fokus Wisma Putra ketika ini ialah memastikan mangsa mendapat rawatan terbaik, membawa ahli keluarga terdekat mangsa untuk memberi semangat kepada mangsa serta menguruskan pelbagai urusan berkaitan termasuk kos perubatan,’’ katanya.