Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tindakan tersebut dipercayai berikutan kedegilan mereka yang disyaki masih menggunakan pukat haram jenis rawa sorong di sekitar perairan itu.

Pengarah Zon Maritim Malaysia Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, pihaknya mengesan kegiatan terbabit pada jarak 0.5 kilometer di barat Kuala Dulang Kecil dekat sini.

"Sebaik sahaja menyedari kehadiran bot peronda Maritim Malaysia, nelayan terbabit cuba melarikan diri dengan memecut botnya ke kawasan cetek.

"Kesemua mereka kemudian terjun ke laut dan berenang ke tepi pantai sebelum melarikan diri dengan meninggalkan bot di situ," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mahmad Faizal, pihaknya merampas peralatan menangkap ikan, enjin dan bot yang dianggarkan bernilai RM35,000.

"Bot itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985," ujarnya.

Kata beliau, aktiviti rawa sorong akan terus dibanteras kerana ia menjejaskan ekosistem hidupan laut. - UTUSAN ONLINE