Ketua Pegawai Operasinya, Raz­win Sulairee Hasnan Termizi berkata, tiga negeri terbabit adalah Johor, Pahang dan Sabah yang mempu­nyai ladang kelapa sawit serta bahan mentah dan sokongan mencukupi bagi menjayakan projek berkenaan.

Beliau berkata, BiotechCorp kini memberi tumpuan dalam penghasilan produk berasaskan bahan kimia daripada kelapa sawit untuk menggantikan bahan asas petroleum terhadap kebanyakan produk yang dihasilkan sebelum ini.

“Satu pelaburan baharu berhubung pembangunan bahan kimia baharu berasaskan bahan sawit akan diumumkan syarikat usaha sama kami iaitu Malaysian Bio-XCell Sdn. Bhd. (Malaysian Bio-XCell) dalam suku pertama tahun hadapan.

“Ia kini dalam peringkat akhir memuktamadkan reka bentuk dan akan diumumkan juga pada suku pertama tahun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar sempena program kerjaya Purple [email protected] Malaysia 2015 di Taman Bioteknologi Bio-XCell di sini, hari ini.

Razwin Sulairee Hasnan berkata, Johor kini berada di posisi yang baik sebagai antara negeri terbesar memiliki ladang sawit selain bahan sokongan mencukupi untuk aplikasi bioteknologi kelapa sawit bagi penghasilan produk bioteknologi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, anggaran 160,000 tenaga kerja diperlukan dalam bidang bioteknologi bagi memenuhi harapan negara dalam memajukan industri berkenaan menjelang lima tahun akan datang.

“Sejak lima tahun lalu, lebih 3,000 lepasan universiti bekerja dalam pelbagai bidang bio dan jumlahnya terus bertambah. Bakat bio negara memainkan peranan pen­ting kepada pertumbuhan sektor berasaskan bio sekali gus meningkatkan kualiti dan kuantiti tenaga kerja di negara ini.

“Justeru, dengan penganjuran program ini, kita berharap ia dapat mendedahkan bakal graduan tentang peluang kerjaya dalam industri bio di negara ini,” katanya.