Apa yang menarik, robot itu bukan sahaja berfungsi sebagai pengesan radioaktif tetapi dapat menyedut bahan tersebut untuk dikuarantinkan demi keselamatan orang ramai di sekeliling.

Wakil kumpulan tersebut, Ba­trisyia Mohd. Razalee, 14, berkata, ciptaan dia dan rakannya, Safurah Mohd. Hazri, 16, itu dilihat dapat mempertingkatkan pengurusan keselamatan di lapangan terbang, stesen bas serta stesen kereta api.

“Kami diberikan tema Mentakrifkan Semula Keselamatan Awam dan idea kami adalah sebuah robot yang mampu menyelesaikan masalah pencemaran radioaktif yang dihadapi oleh semua negara di seluruh dunia. Antara maklum balas juri ialah hasil kami banyak memanfaatkan peralatan elektronik dan mempunyai kekemasan.

“Kami sentiasa peka dengan ele­men-elemen penting dalam penciptaan robot ini kerana jika kami membuat satu kesilapan sekalipun pastinya robot ini tidak akan berfungsi,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Selain MRSM Pendang, turut mencipta nama ialah MRSM Kuching, Sarawak yang memenangi pingat perak Kategori Robot Dalam Filem menerusi dua pelajarnya iaitu Yoel Shalom Anding dan Khairul Zakwan Ahmad manakala MRSM Bentong, Pahang yang diwakili Intan Farha­nah Rosman dan Nur Afiqah Batrisyia Ros Hisham memperoleh pingat gangsa Kategori Kreatif Terbuka.

Kesemua mereka berumur an­tara 14 hingga 16 tahun.

Pertandingan yang dianjurkan kali ke-19 itu turut disertai wakil-wakil kelab, sekolah dan institusi berkaitan robotik, antaranya dari Jerman, New Zealand, Austra­lia, Thailand, Filipina, Pakistan, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan serta China.

Dalam pada itu, guru pengiring pasukan Malaysia, Adha Arffain berkata, beliau amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya terutama atas kejayaan mereka menewaskan pasukan-pasukan negara lain yang tidak kurang hebatnya.

Katanya, kejayaan tersebut diharap dapat dipertingkatkan pada masa akan datang terutama menerusi kejohanan-kejohanan bertaraf antarabangsa yang lain.

“Alhamdulillah, kami telah membuat persediaan sejak bulan Julai lagi selepas Robotfair 2017 yang berlangsung di MRSM Bentong. Kami fokus kepada pertandingan antarabangsa ini dan telah berjaya memperoleh kejayaan,” katanya.

Sementara itu, ketua kontinjen, Juriah Alias berkata, penyertaan pelajar-pelajar MRSM pada pertandingan itu dilihat dapat memberi mereka galakan sewajarnya untuk menglibatkan diri dalam bidang berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).