Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub memberitahu, pihaknya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menubuhkan unit khas yang dapat merangka strategi untuk memasarkan harumanis sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha.

Beliau yakin FAMA berupaya merangka pelan yang terbaik bagi memastikan pengeluaran dipasarkan dengan harga yang boleh memberi pendapatan lumayan selain tidak berlakunya lambakan mempelam berkenaan.

Katanya, usaha kedua pula ialah melalui kerjasama dengan Kementerian Pelancongan bagi mempergiatkan kempen supaya pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Perlis untuk beli serta menikmati harumanis.

"Harumanis cukup istimewa dan mempunyai tarikan. Kita boleh bincang sama ada mengadakan pakej dan promosi minta pelancong datang ke Perlis khususnya pada musim mempelam berkenaan iaitu Mei sehingga Julai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Bertemu Pelanggan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani peringkat negeri Perlis di sini, hari ini.

Tambah Salahuddin, inisiatif ketiga pula, pihaknya akan membentangkan kepada Kabinet supaya harumanis menjadi menu wajib dalam setiap jamuan atau majlis agensi kerajaan. - UTUSAN ONLINE