Ketiga-tiga mereka, Izzah Zahin Aliman, 25, Siti Nuradila Zulkifli, 24, dan Siti Nadhirah Mohamed Razip, 24, akan mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bahasa Mandarin di Universiti Kebangsaan Cheng Kung di Tainan dengan mendapat biasiswa penuh daripada kerajaan negara itu.

Izzah Zahin berkata, dia akan menggunakan kemahiran berbahasa Mandarin nanti bagi merebut peluang kerjaya, sesuai dengan perkembangan pesat sektor hartanah dan industri.

“Saya berasal dari Johor Bahru dan ingin merebut peluang yang ada untuk membina kerjaya di negeri sendiri dan berharap dengan dua ijazah sebelum ini dan mahir berbahasa Mandarin, akan memberi kelebihan kepada saya,” kata graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pengurusan Kontrak Pembinaan (Sarjana) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

Dia ditemui dalam majlis penga­nugerahan biasiswa Kementerian Pendidikan Taiwan dan biasiswa Huayu (Mandarin) Enrichment di Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia (TECO) di Menara Yayasan Tun Razak di sini, hari ini.

Sebanyak 38 pelajar Malaysia ditawarkan biasiswa berjumlah keseluruhan RM182,800 itu bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di universiti awam terkemuka di Taiwan.

Seramai 16 pelajar mengikuti pengajian pe­ringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana (17 pelajar), ijazah doktor falsafah (2) dan diploma (3).

Yang turut hadir ialah Ketua Misi TECO, James Chang Chi Ping.

Siti Nuradila pula berkata, dia sanggup berhenti kerja sebagai pensyarah di sebuah kolej di Johor semata-mata untuk menerima tawaran biasiswa dan mendalami bahasa Mandarin.