Masalah bermula sejak perkahwinan bapa, Mohd. Fauzi Hassan, 50, seorang peniaga buah dan sayur orang kurang upaya (OKU) dan ibu mereka, Anita Abdul Rahman, 41, seorang warga Indonesia di Yala, Thailand pada 2007.

Mohd. Fauzi gagal mendaf­tarkan perkahwinan ekoran ketiadaan wang membayar denda RM400. Berikutan itu, sijil kelahiran mereka tidak diproses, biarpun dilahirkan di negeri ini.

Akibatnya, dua daripada anak­nya, Nurul Syafiqah, 9, dan Nurul Natasha, 8, gagal mengikuti sesi pembelajaran formal di sekolah kerajaan. Anak bongsu, Mohd. Fitri Sya­wal, 6, juga dikhuatiri berdepan nasib sama.

Menurut Mohd. Fauzi, Nurul Syafiqah dan Mohd. Fitri Syawal dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), manakala Nurul Natasha di Hospital Tanah Merah.

“Selepas berkahwin, saya ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk daftarkan perkahwinan.

“Mereka minta saya bayar denda RM400. Saya tidak ada duit dan gagal jelaskan bayaran itu. Upah sebagai penjual buah dan sayur hanya cukup-cukup makan,” katanya yang menetap di belakang Man Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

Mohd. Fauzi yang cacat fizikal di kaki, tidak boleh berdiri lama atau berjalan jauh.

Katanya, selepas kelahiran Nurul Syafiwah, mereka berusaha menyelesaikan masalah itu namun gagal gara-gara sijil perkahwinan pula hilang.

“Keadaan bertambah buruk selepas isteri saya pula ditahan pihak imigresen kerana pasportnya tamat tempoh.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu selesaikan masalah ini,” rintihnya.