Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, se­paruh daripada jumlah tersebut masih belum didiagnosis memandangkan diabetes merupakan penyakit senyap dan individu terbabit tidak pernah menjalani saringan kesihatan.

Menurut beliau, sempena Hari Diabetes Sedunia yang bertemakan Wanita dan Diabetes: Kesihatan Kita, Milik Kita, Hak Kita pada hari ini, semua rakyat disarankan mengambil pelbagai langkah penjagaan kesihatan.

“Antara usaha berkenaan ialah makan secara sihat dan mengikut Pinggan Sihat Malaysia iaitu me­ngurangkan makanan yang tinggi lemak dan gula termasuk mening­katkan pengambilan buah dan sayur.

 

“Selain itu, perlulah kekal aktif sepanjang hari dengan bersenam sekurang-ku­rangnya 30 minit sehari, mengawal berat badan dan menjalani saringan kesihatan secara berkala,” katanya dalam kenyataan di si­ni hari ini.

Subramaniam menambah, melalui sari­n­gan yang tetap dan berkala, penyakit diabetes boleh dikesan pada peringkat awal dan rawatan dapat dilakukan dengan segera.

“Ini dapat mengurangkan risi­ko komplikasi akibat diabetes dan membolehkan pesakit menjalani kehidupan yang normal.

“Diharapkan menerusi peningkatan tahap kesedaran terhadap penyakit ini berupaya mengubah tingkah laku rakyat Malaysia dan mengurangkan risiko akibat komplikasi,” katanya.