HILMI YAHAYA

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, setakat ini seramai 3.5 juta atau 17.5 peratus penduduk Malaysia mengalami obesiti berikutan makan berlebihan.

Menurutnya, selain meng­amalkan pemakanan yang tidak sihat, gaya hidup tidak aktif juga merupakan antara punca penyakit tersebut ‘menyerang’ penduduk.

“Rakyat di negara ini lebih suka makan daripada bersenam. Ada yang makan hingga enam kali sehari tetapi malas bersenam.

“Bagi lelaki, mereka harus makan tidak lebih 2,000 kalori sehari dan wanita pula 1,800 kalori. Namun apa yang kita lihat sekarang, pengambilan makanan bermula dari sarapan sehinggalah makan malam kesemuanya adalah makanan yang berat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program ‘Biggest Loser’ anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Benita, Datin Rohana Mustaffa.

Menurut Hilmi, kerajaan sentiasa komited menjalankan pelbagai program dan akti­viti dalam mendidik masyarakat mengenai pemakanan yang sihat.

“Pendidikan pemakanan dijalankan se­awal dari dalam kan­dungan iaitu melalui sesi taklimat pemakanan kepada ibu hamil yang dijalankan di klinik-klinik kesihatan oleh Pegawai Sains Pemakanan atau Pegawai Dietetik.

“Selain itu, program pendidikan penyusuan susu ibu sehingga bayi berumur enam bulan, program Kantin Sekolah Sihat dan Doktor Muda di sekolah-sekolah serta pelbagai program kesihatan telah dijalankan bagi mengurangkan masalah berat badan atau obesiti,” ujarnya.

Sementara itu, Rohana berkata, program menurunkan berat badan itu adalah untuk anggota persatuan yang terdiri daripada wartawan dan kakitangan wanita di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

“Program dengan slogan ‘Sihat Bergaya’ ini menyasarkan pen­yertaan anggota dan kakitangan Bernama yang kiraan Indeks Jisim Badan (BMI) mereka melebihi 25.

“Seramai 40 peserta wanita berdaftar untuk program ini akan menjalani ujian saringan kesihatan, pemeriksaan berat badan dan kesihatan setiap bulan, kaunseling diet dan ceramah kesihatan,” ujarnya.