Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini permohonan yang telah diterima bagi menyertai program ini begitu menggalakkan dan setakat bulan Julai lalu, seramai 767 peserta telah diluluskan di peringkat kementerian.

“Dalam Bajet 2017, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah me­ngumumkan per­untukan seba­nyak RM30 juta bagi melahirkan 3,000 usahawan belia luar bandar di bawah Program Mobilepreneur.

“Peruntukan tersebut telah men­jadi perangsang kepada GIATMARA dan FELCRA Bhd. selaku agensi pelaksana untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan luar bandar. Melihat kepada sambutan yang diterima ketika ini, sasaran untuk melahirkan 3,000 usahawan bergerak luar bandar pada tahun ini mampu dicapai,” katanya.

Program Mobileprene­ur yang mula diperkenalkan pada Mei 2016 me­rupakan program inisiatif bagi melahirkan usahawan belia luar bandar bagi menjalankan perniagaan berkonsepkan per­khid­matan bergerak menggunakan motosikal.

Konsep mobilepreneur memperkenalkan perniagaan usahawan yang menawarkan pelbagai jenis perkhidmatan kemahiran terus ke rumah atau di mana-mana saja berbanding dengan usahawan bergerak sedia ada yang tertumpu kepada penjualan atau penghantaran makanan.

Tambah Ismail Sabri, sebanyak 13 bidang perniagaan dikelaskan pada 2017 iaitu perkhidmatan automotif, motosikal, elektrik, pendingin hawa, jahitan serta gun­ting dan dandanan rambut, selain senggaraan bangunan dan paip, fotografi, kimpalan, komputer, elektronik serta perkhidmatan spa dan kecantikan.

“Pilihan bidang perkhidmatan yang dikelaskan pada 2017 ini mengutamakan bidang kemahiran dan bidang yang dilihat berpotensi untuk berkembang dan mempunyai pasaran,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Program Mobilepreneur adalah sejajar dengan usaha membantu golo­ngan belia luar bandar yang mempunyai kemahiran dan kesungguhan tinggi untuk me­ningkatkan pendapatan dan taraf hidup.

“Program ini bersesuaian de­­­ngan gaya dan cara hidup ma­syarakat sekarang di mana segala urusan dan corak jual beli diaplikasikan secara atas talian dengan lebih pantas dan menjimatkan kos tanpa perlu berge­rak keluar untuk mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan. Usahawan pula ti­dak perlu membuka premis perniagaan atau berdepan kos sewa premis yang meningkat.

Perkhidmatan bergerak ini juga dilihat mempunyai potensi untuk melahir dan membangunkan usahawan belia luar bandar kerana modal permulaan perniagaan ya­ng minima dan peserta boleh memperoleh capaian pendapatan yang lebih besar berdasarkan kemahiran yang dimiliki peserta serta jangkauan kawasan operasi perniagaan,” katanya.

Jelasnya, menerusi Program Mobilepreneur, peluang ekonomi para pesertanya terbuka luas melalui pemberian pakej bantuan yang menyeluruh untuk memulakan perkhidmatan bergerak termasuk motosikal lengkap de­ngan kotak peralatan (rear box), kelengkapan peralatan (tool kit) serta diberi latihan asas keusahawanan.

“Menerusi bantuan ter­sebut, sudah tentu peserta Program Mobi­lepreneur dilihat lebih bersedia daripada sudut mental dan fizikal untuk memulakan perniagaan ma­sing-masing,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pada tahun lalu seramai 253 usahawan belia luar bandar telah dilahirkan menerusi Program Mobilepreneur dengan peruntukan seba­nyak RM2.53 juta yang dite­rima GIATMARA selaku agensi pelaksana.

Kesemua usahawan belia luar bandar tersebut adalah dari Perlis, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan.