Himpunan anjuran Pas yang bermula selepas solat zuhur di masjid tersebut berlangsung selama lebih dua jam dan disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik termasuk Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) dan Cakna Palestin.

Para peserta menggesa kerajaan Malaysia yang merupakan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan lebih aktif dalam menghentikan penindasan terhadap Rohingya di Rakhine, Myanmar.

Mereka juga menggesa kempen-kempen desakan untuk menghentikan kekejaman tersebut diteruskan sehingga kerajaan Myanmar mendengar dan memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, semua rakyat Islam perlu bersatu padu dalam memastikan kekejaman terhadap Ro­hingya dihentikan dengan segera.

“Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan apa yang berlaku kepada penduduk Islam di Bosnia berulang,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.