Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, selain tas tangan, turut diambil ialah 72 beg dan bagasi mengandungi barang kemas serta wang tunai dari pelbagai negara.

"Setakat ini, jumlah anggaran wang yang diambil belum boleh diberitahu kerana perlu dikira dengan teliti.

"Rumah tersebut kita dapati didaftarkan atas nama seorang individu bergelar Tan Sri dan tiada orang di dalam rumah sewaktu pemeriksaan dijalankan," katanya dalam satu sidang akhbar selepas selesai pemeriksaan polis di sini, hari ini.

Terdahulu, sebanyak lima buah trak polis hadir kira-kira pukul 11.45 malam ke kondominium mewah tersebut untuk mengambil kesemua barangan siasatan.

Kesemua barangan itu selesai dimasukkan ke dalam lori tersebut kira-kira pukul 2 pagi.

Sebelum itu, kira-kira pukul 4.40 petang semalam, sebuah trak polis dilihat keluar dari kediaman rasmi Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

Menurut Amar Singh, polis juga mengambil beberapa barangan di kediaman rasmi bekas Perdana Menteri dan juga di Pejabat Perdana Menteri.

Jelasnya, kesemua barangan termasuk dokumen yang diambil adalah bertujuan menyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas mengenai tempoh pemeriksaan yang lama, jelasnya, kes yang sedang disiasat itu menjadi perhatian umum dan perlu dilakukan dengan teliti.

"Kita melakukan pemeriksaan dengan cukup teliti dan secara profesional sejak dua hari yang lepas.

"Setakat ini, proses pemeriksaan berjalan dengan lancar dan kita telah mendapatkan borang geledah di setiap premis," jelasnya. - UTUSAN ONLINE