Jamil Khir Baharom

Majlis tersebut buat julung kali diadakan serentak iaitu Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan akan berlangsung selama empat hari bermula Selasa ini pukul 8.30 malam manakala Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan selama tiga hari bermula Ahad ini pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan bersambung pukul 2 petang hingga 5 petang setiap hari.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, majlis tahun ini dianjurkan secara bersama melalui kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kerajaan Negeri Melaka dan beberapa jabatan kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Bagi majlis tilawah, seramai 28 peserta iaitu 14 qari dan 14 qariah dari semua nege­ri di Malaysia mengesahkan penyer­taan manakala bagi majlis menghafaz al-Quran pula 79 peserta akan bertanding iaitu enam orang dari setiap negeri berusia di antara tujuh hingga 25 tahun.

Pada penganjuran kali ini, semua peserta acara tilawah akan diwajibkan membaca al-Quran secara bertaranum dengan dua jenis lagu yang ditetapkan secara berturut-turut yang diadili 15 orang juri dengan barisan jemaah hakim akan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2017 yang bertemakan Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah akan dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin ini pukul 8.30 malam di Dewan Seri Negeri manakala majlis penutup dan penyampaian hadiah pada 8 April ini akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob.

Beberapa program diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung ke majlis itu antaranya pihak penganjur telah menyediakan televisyen LED skrin besar di Dataran Seri Negeri untuk menyiarkan secara langsung majlis itu dan turut disediakan beberapa tapak pameran serta lebih 10 buah food truck menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.

Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga pada majlis itu yang sesuai untuk semua peringkat umur dengan tempat letak kereta awam disediakan di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) dan Masjid Al-‘Alami MITC.

Perkhidmatan bas perantara turut disediakan sepanjang majlis bagi membawa orang awam dari tempat letak kereta tersebut ke Dewan Seri Negeri.

Majlis berkenaan turut di­siarkan secara langsung di TV1 dan TV Al-Hijrah (saluran 114) serta melalui radio IKIM.FM serta melalui live streaming web TV Jakim dengan melayari laman web www.jakim.tv.