Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sepanjang tempoh tersebut pihaknya telah memeriksa seramai 114,559 warga asing yang berada di negara ini. 

“Selain itu, 866 majikan yang masih berdegil menggaji atau melindungi PATI sepanjang tempoh itu diberi amaran berulang kali sehingga Program Serah Diri Sukarela atau 3+1 membabitkan PATI tamat pada 30 Ogos ini. 

“Jika gagal berbuat demikian, majikan dan PATI akan ditangkap serta dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Ramah Mesra Bersama Warga Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di Depot Imigresen Lenggeng di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd. Zulfikar Ahmad dan Pengarah Imigresen negeri, Mohammed Khalil Ali.

Dalam pada itu, Mustafar berkata, terdapat segelintir majikan terbabit memohon pekerja asing dalam jumlah yang ramai, namun ketika pemantauan dilakukan didapati tiada keperluan untuk berbuat demikian.

“Kita percaya, ada dalam kalangan pekerja asing yang dipohon oleh majikan-majikan ini telah ‘dijual’ ke tempat lain bagi mengaut keuntungan. Ini merupakan pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan diambil bagi memerangi aktiviti ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE