Cuaca yang tidak menentu juga menyebabkan ada dalam kalangan mangsa banjir yang dibenarkan pulang ke rumah sementara ada penduduk yang baru ditempatkan di beberapa pusat pemindahan yang masih dibuka sehingga kini.


Sehingga pukul 4.30 petang ini, jumlah mangsa yang masih berada di enam pusat pemindahan sementara adalah 263 orang melibatkan 64 keluarga.


Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Leftenan Kolonel Effendy Ali berkata, kesemua mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara masing-masing tiga di daerah Jasin dan Alor Gajah.


“Di daerah Jasin, sebanyak 176 mangsa terdiri daripada 43 buah keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Sekolah Kebangsaan Tehel, Balai Raya Seri Mendapat dan Balai raya Air Tawar.


“Manakala di daerah Alor Gajah pula, seramai 87 mangsa daripada 21 keluarga masih berada di tiga pusat pemindahan iaitu Balai Raya Kampung Seri Jeram, Tadika JAIM Kampung Pulau dan Sekolah Kebangsaan Belimbing,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini. - UTUSAN ONLINE