Kesemua 26 atlet yang hadir diraikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji di sini hari ini sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Kampar dan Batang Padang di sini.

Selain berbual dan bertanya khabar, Zambry turut memakaikan mafla kepada semua atlet dan antara yang hadir termasuk penerjun wanita negara, Leong Mun Yee dan dua penembak kebangsaan, Hasli Izwan Amir Hassan dan Nur Suryani Mohd. Taibi.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, walaupun tiada sebarang insentif diberikan hari ini, namun atlet terlibat cukup teruja untuk hadir pada majlis penghargaan berkenaan.

“Saya jangkakan hanya sedikit yang hadir kerana tiada sebarang insentif akan diberikan hari ini selain kebanyakkan mereka berada di Kuala Lumpur kerana menjalani latihan persediaan ke Sukan Komanwel.

“Namun tidak sangka jumlah kehadiran atlet seramai 26 orang. Ini menunjukkan bukan wang ringgit yang mereka cari tapi pengikhtirafan rakyat dan kerajaan atas usaha dan penat lelah mereka selama ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE