Program kali keempat anjuran Kelab Taha Tabung Haji dan dikendalikan Berkat Minda Resources dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini semalam.

Pengurus Besar Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Mohd. Nasir Mohd. Yusoff berkata, program sehari itu melibatkan pelajar tingkatan satu hingga tiga yang menjadi ahli Kelab Taha.

“Terdapat kelainan yang dimasukkan dalam program tahun kedua kali ini iaitu peserta perlu menyiapkan replika bandar pintar dalam bentuk pertandingan berbanding sebelum ini hanya bertujuan untuk kesedaran.

“Sebelum ini STEM Innovation Challenge telah diadakan di Zon Tengah, Sabah dan Sarawak sebelum peringkat akhir nanti akan diadakan di UKM pada November,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Tabung Haji negeri, Datuk Mohammad Mokhzani Mukhtar; Pensyarah Kanan UKM, Dr. Mohamad Sattar Rasul dan Pengarah Urusan Berkat Minda Resources, Mahmod Mat Ali.

Menurutnya, usaha tersebut diharap dapat menyemai minat pelajar untuk menyahut seruan kerajaan meminati bidang sains bagi melahirkan tenaga kerja mahir ke arah memacu industri berasaskan kemahiran.

"Saya yakin matlamat program ini dapat memberi pendedahan kepelbagaian telnologi, sumber tenaga boleh guna dan aplikasi mudah untuk jentera robotik bagi membina bandar pintar,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mohammad Sattar berkata, pihaknya membangunkan empat modul bagi kegunaan STEM Innovation Challenge iaitu tenaga, pengangkutan, infrastruktur bandar dan komunikasi tanpa wayar.

“Kesemua modul itu perlu ada bagi membangunkan model bandar pintar yang ada ciri-ciri bagaimana menjimatkan tenaga dan menambah baik atau melestari kehidupan manusia.

“Selain bangunkan projek, kita turut tekankan kemahiran insaniah iaitu kerja secara berkumpulan dan menyelesaikan masalah serta kemahiran membuat keputusan,” katanya.

Dalam pada itu, lima buah sekolah terpilih mewakili Zon Selatan untuk menyertai pertandingan akhir STEM Innovation Challenge bagi merebut hadiah wang tunai RM3,000 untuk johan.