Timbalan Perdana Menteri berkata, laporan awal Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menunjukkan kerosakan membabitkan 16 Sekolah Kebangsaan, enam Sekolah Menengah Kebangsaan dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di daerah Ranau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Nabawan dan Keningau.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerosakan dikesan pada struktur di bangunan sekolah, kuarters guru, jalan raya dan tanah di sekitar kawasan sekolah.

“Kementerian sedang mendapatkan khidmat pakar dari Unit Forensik Jabatan Kerja Raya untuk mengenal pasti sama ada bangunan-bangunan terlibat selamat digunakan sebelum tindakan pembaikan dibuat,” katanya.

Muhyiddin berkata peruntukan mencukupi akan disalurkan segera kepada JPN Sabah supaya kerosakan ini dapat dibaiki supaya tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit. - BERNAMA