Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bahawa pemeriksaan tersebut dilakukan pihaknya sejak seminggu lalu, manakala proses sepenuhnya dijangka akan selesai pada bulan depan.

Daripada jumlah pemeriksaan itu katanya, sebanyak 76 buah bangunan didapati tidak mematuhi syarat serta piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh JBPM.

“Pada masa sama, kita juga te­lah mengeluarkan 114 notis kepada pemilik-pemilik bangunan pusat tahfiz serta rumah anak yatim atas pelbagai masalah, antaranya tidak mempunyai laluan kecemasan yang mencukupi, kelengkapan pencegahan kebakaran yang tidak berfungsi serta tidak mencukupi.

“Kita beri tempoh enam bulan kepada pemilik-pemilik bangunan yang terlibat untuk menyelesaikan masalah itu.

“Sekiranya ingkar, mereka bo­leh dikenakan tindakan denda atau penjara, selain diarahkan me­nutup premis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lapan buah pusat tahfiz dan rumah anak yatim di sekitar kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memberitahu bahawa ketika ini pihaknya sedang menunggu kelulusan Kabinet bagi mewajibkan pemasangan alat pengesan asap di semua bangunan pusat tahfiz dan rumah anak yatim berasrama di seluruh negara sebagai langkah awal pencegahan kebakaran.