Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Datuk Dr. Abdullah Mohamad Said berkata, mereka akan cuba mencipta nama dalam Malaysia Book of Records sebagai ekspedisi yang melibatkan peserta kayak paling ramai dalam satu masa.

Jelasnya, bagi peringkat pertama, peserta akan berkayak dengan melibatkan 105 buah kayak bermula dari Kampung Tanjung Pelanduk, Port Dickson sehingga Jeti Tanjung Emas, Muar.

Katanya, bagi peringkat kedua, ekspedisi akan diteruskan merentasi Selat Melaka dari Tanjung Emas ke Pulau Bengkalis, Riau, Indonesia sejauh kira-kira 60 kilometer.

"Saya harap semua peserta memiliki ketahanan mental dan fizikal. Mereka juga perlu sentiasa berdoa supaya ekspedisi ini berjaya," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspedisi Kayak Nusantara Riau di UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban, di sini malam tadi.

Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mohamad Taufek Abd. Ghani.

Yang turut hadir Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Prof. Dr. Nasrudin Mohammed.

Sementara itu, Mohamad Taufek berharap peserta dan penganjur menitikberatkan aspek keselamatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Saya mendoakan semua peserta kayak akan diberi kejayaan dan keselamatan serta sampai ke destinasi. Saya harap selepas ini saya akan lihat wajah-wajah peserta berjaya menyempurnakan ekspedisi ini melalui kaca televisyen dan surat khabar nanti," ujarnya.

Antara yang terlibat menjayakan ekspedisi tersebut ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Wisma Putra, polis, bomba, Majlis Perbandaran Port Dickson, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah dan Majlis Perbandaran Muar. - UTUSAN ONLINE