Majlis ringkas ini turut dihadiri Ketua Balai Bomba Kathmandu, Kishor Kumar Bhattarai.

Sambutan bermula dengan perbarisan anggota bomba dan penyelamat, nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi Bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, walaupun berada di luar Malaysia, pegawai serta anggota bomba dan penyelamat negara tetap mengingati dan menyambut Hari Anggota Bomba Sedunia.

Menurutnya, sambutan ini merupakan satu sejarah kepada warga bomba kerana ia merupakan pengalaman pertama mereka meraikannya di luar negara.

Katanya, sambutan yang turut dihadiri pegawai dan anggota bomba dari Nepal itu mengeratkan hubungan pegawai dan anggota bomba kedua-dua negara.

“Dalam sambutan ini, kami juga berkongsi banyak perkara berkaitan tugas dan tanggujawab bomba khususnya dalam menyelamatkan nyawa masyarakat,” katanya di sini, hari ini.

Cabaran Annapurna Media dan Bomba Malaysia 2017 ini diadakan pada 24 April hingga 5 Mei merupakan program anjuran Kelab Media Pahang.

Sebanyak 62 peserta program berjaya menawan Annapurna Base Camp (ABC) pada 30 April lalu.

Sempena majlis sambutan hari ini,pengamal media turut meraikan pegawai dan anggota bomba dengan acara memotong kek.

Abdul Wahab, berkata. sambutan yang diadakan serentak di seluruh dunia itu lebih bermakna kerana turut dihadiri empat pengarah bomba negeri dan seorang komandan.

Selain Abdul Wahab, pegawai tinggi bomba yang lain ialah Pengarah JBPM Kelantan,Nazili Mahmood;Pengarah JBPM Kedah, Abdul Razak Muda;Pengarah JBPM Sarawak, Nor Hisham Mahmood dan Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia,Kuala Kubu Bharu,Saadon Moktar.

Abdul Wahab berkata, program ini antara lain bertujuan merapatkan hubungan dan kerjasama antara pegawai dan anggota bomba Malaysia dan Nepal.

“Perkongsian pengalaman ini dapat meningkatkan semangat anggota bomba untuk meneruskan tugas dengan cemerlang,” tambahnya.

Sementara itu, Kishor Kumar Bhattarai berkata, pihaknya berasa amat gembira menerima kunjungan pegawai dan anggota bomba dari Malaysia.

Menurutnya, ini kali pertama pihaknya menerima kunjungan anggota bomba yang ramai dari luar negara.

“Sebelum ini, pihak kami hanya menerima kunjungan rasmi pegawai dan anggota bomba dalam jumlah yang kecil sahaja.

“Ini kali pertama kami menerima kunjungan rasmi melibatkan 21 orang,” katanya.

Dalam pada itu, sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2017 peringkat kebangsaan sedang berlangsung di Ipoh, Perak hari ini.

Majlis sambutan itu disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. UTUSAN ONLINE